Wednesday

Banduan Yang Melarikan Diri Ditahan Semula



KUANTAN – Seorang banduan yang melarikan diri daripada kawalan polis selepas kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan jalan raya semalam, berjaya ditahan semula di Taman Dato Rashid, di sini malam tadi.

Banduan berusia 32 tahun itu ditahan pada pukul 10.25 malam apabila dia keluar dari tempat persembunyiannya dan meminta air di sebuah rumah penduduk di taman itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata banduan terbabit juga minta dibukakan gari namun penduduk kampung segera memaklumkannya kepada polis.

“Banduan itu tidak cedera, hanya sedikit calar di muka kesan daripada kemalangan itu dan dia cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas polis,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata banduan terbabit dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sebelum dihantar ke Penjara Penor hari ini.

Semalam, tiga anggota polis parah selepas kereta polis yang membawa banduan itu hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan dekat Taman Dato Rashid di sini.

Dalam kejadian 11.45 pagi itu, kereta polis berkenaan dalam perjalanan membawa banduan terbabit yang baru dijatuhkan hukuman atas kesalahan di bawah Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1953 dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Berang, Terengganu menuju ke Penjara Penor, di sini.

Banduan yang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan itu dikatakan bertindak agresif dengan menendang kerusi pemandu kereta polis itu menyebabkan ia hilang kawalan. – BERNAMA

sumber:

No comments:

ikan hiasan / ornamental fish