Tuesday

SKMM Pantau Kandungan Penyiaran Bahan Di Internet



KUANTAN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memantau dan menapis kandungan klip video yang disiarkan di internet, persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang diberitahu pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata dengan mengambil isu penyiaran klip video yang menghina Nabi Muhammad s.a.w di internet baru-baru ini sebagai contoh, semua pihak juga perlu tampil membuat aduan rasmi sekiranya mengesan sebarang klip video yang menyentuh sensitiviti mana-mana kaum atau agama disiarkan di internet.

“Perkara ini sentiasa dipantau SKMM melalui ‘Task Force’ yang mereka tubuhkan. Penyiaran klip video seperti ini, tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi jika ia boleh menganggu keharmonian hubungan antara kaum dan agama.

“Orang ramai perlu memainkan peranan dan membuat laporan segera kepada pihak SKMM atau mana-mana pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang penyiaran bahan seperti itu,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Shahaniza Shamsuddin (BN-Kuala Sentul) yang mahu tahu apakah tindakan kerajaan bagi menghalang penyiaran klip video yang berjudul Innocence of Muslims, di YouTube baru-baru ini terhadap pengguna internet di negara ini.

Menjawab soalan Datuk Pang Tsu Ming (BN-Semambu) berhubung jenayah siber yang semakin serius, Mohd Sharkar berkata kebanyakan kes penipuan internet membabitkan sindiket yang beroperasi di luar negeri Pahang dan luar negara.

“Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman memiliki ‘Task Force’ sendiri bagi mengendalikan kes seperti ini.

“Orang ramai perlu berhati-hati dengan pelbagai taktik licik yang digunakan kumpulan atau sindiket penipuan internet dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika menjadi mangsa,” katanya.

Katanya, kebanyakan mangsa pula adalah wanita yang belum berkahwin, ibu tunggal dan mereka yang berkerjaya.

“Terdapat dua kemungkinan yang mendedahkan individu menjadi mangsa sindiket penipuan internet iaitu sikap tamak mereka sendiri, atau terlalu lurus bendul dan mudah percaya dengan setiap benda yang mereka dengar atau pesanan yang diterima melalui e-mel atau laman sosial,” katanya. – BERNAMA

sumber:

No comments:

ikan hiasan / ornamental fish

Web Counter