Saturday

Malaysia Dipelawa Jadi Tuan Rumah World Franchise Council WFC 2013


KUALA LUMPUR -  Malaysia dipelawa menjadi tuan rumah mesyuarat World Franchise Council (WFC) 2013 pada tahun depan, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

KPDNKK melalui satu kenyataan memberitahu, mesyuarat WFC merupakan mesyuarat tahunan bagi ahli WFC yang dianggotai persatuan francais dari 53 buah negara di seluruh dunia.

“Mesyuarat WFC merupakan platform untuk berkongsi dan bertukar pengalaman, maklumat dan pandangan mengenai pembangunan industri francais dari negara masing-masing di samping memperkukuhkan saluran komunikasi di antara ahli persatuan.

“Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat WFC memberi potensi kepada negara untuk mempromosi dan meningkatkan reputasi serta kredibiliti francais Malaysia di peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, kata kenyataan itu, Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini berada di Istanbul, Turki bagi mengetuai delegasi kerajaan atas jemputan rasmi WFC dan Turkey Franchise Association (UFRAD).

Menurut kenyataan itu, jemputan WFC dan UFRAD kepada Ismail Sabri merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan buat kerajaan Malaysia dalam pembangunan industri francais.

Tambah kenyataan itu, Ismail Sabri turut menyampaikan ucapan dasar mengenai pembangunan francais dunia dan merasmikan Turkey Franchise Exhibition 2012.

Jelas kenyataan itu, Menteri KPDNKK dalam majlis tersebut menyeru semua penggiat francais supaya mewujudkan satu komuniti francais global.

Ismail Sabri turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Ekonomi Turki, Mustafa Keser bagi membincangkan kerjasama berpotensi dua hala berhubung isu-isu berkaitan dengan francais untuk pengembangan perniagaan francais di kedua-dua negara. – mynewshub.my

No comments:

ikan hiasan / ornamental fish

Web Counter